
KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Kerajaan menyasarkan pendaftaran kira-kira 6,000 pelarian, termasuk warga Rohingya, menerusi pelaksanaan proses Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) tahun ini bagi memperkukuh pengurusan migran dan keselamatan negara.
- DPP mengumpul maklumat peribadi seperti nama, umur dan lokasi, serta menjalankan tapisan keselamatan oleh PDRM dan Jabatan Imigresen dengan sistem biometrik.
- Objektif DPP ialah pengurusan pendaftaran biometrik, penentuan dan pengesahan status migran serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang.
- Kerajaan rujuk data UNHCR kira-kira 225,000 pelarian dan mahu pendataan sendiri bagi dasar awam serta keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sasaran itu merangkumi 4,010 individu yang ditempatkan di depoh tahanan imigresen, manakala selebihnya terdiri daripada pelarian di luar depoh.
Beliau berkata proses pendataan itu melibatkan pengumpulan maklumat peribadi seperti nama, umur dan lokasi keberadaan, selain tapisan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“DPP adalah satu proses pendataan, kumpul data. Namanya, umurnya, kemudian lokasi keberadaannya, ada tapisan polis ke atas mereka ini, ada tapisan imigresen. Kita buat sistem biometrik, segala macam supaya kita ada satu data yang yang boleh dipercayai.
“Data ini adalah satu instrumen keselamatan. Ia bukan hanya sekadar pangkalan data. Daripada situ kita boleh buat satu dasar awam dan kenal pasti mekanisme penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) di Dewan Rakyat hari ini mengenai sasaran pendaftaran warga Rohingya dalam tempoh dua tahun menerusi DPP, termasuk jumlah individu yang disasarkan dan garis masa pelaksanaannya.
Saifuddin berkata DPP yang bermula pada 1 Januari lepas bertujuan menguruskan pendaftaran maklumat biometrik, tapisan keselamatan serta proses penentuan dan pengesahan status migran yang memohon perlindungan sementara di Malaysia.
Menurutnya, berdasarkan data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kira-kira 225,000 pelarian direkodkan berada di negara ini.
Justeru, kerajaan berpandangan proses pendataan sendiri perlu dilaksanakan bagi memperoleh maklumat terperinci mengenai identiti dan latar belakang pelarian, termasuk melalui penggunaan sistem biometrik serta tapisan keselamatan.