Malaysia perlu teliti cadangan jadi pengerusi bersama The Hague Group

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Malaysia perlu mempertimbangkan secara teliti sebelum menerima cadangan beberapa negara supaya negara ini menjadi pengerusi bersama The Hague Group dengan Afrika Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu pertimbangan teliti sebelum menerima cadangan menjadi pengerusi bersama The Hague Group.
  • Terdapat kekangan perundangan kerana Malaysia bukan negara pihak kepada konvensyen antarabangsa berkaitan.
  • Menandatangani Statut Rom dan perjanjian lain mungkin bercanggah dengan Perlembagaan negara.
  • Untuk masa ini Malaysia akan bertindak sebagai penaja bersama dan antara penaja utama, bukan pengerusi bersama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pertimbangan perlu dibuat berikutan kekangan perundangan serta status Malaysia yang bukan pihak kepada konvensyen antarabangsa berkaitan.

Menurut beliau, cadangan kepengerusian bersama itu dikemukakan susulan penglibatan aktif Malaysia dalam kumpulan berkenaan, yang merupakan antara platform antarabangsa penting untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel berhubung isu Palestin.

“Perkara ini perlu dipertimbangkan secara berhati-hati kerana, pertama, Malaysia bukan negara pihak kepada konvensyen berkenaan. Jadi, kita tidak boleh menjadi pengerusi bersama, tetapi boleh menjadi penaja bersama kerana terdapat banyak kekangan.

“Melainkan Malaysia bersedia menandatangani Statut Rom dan beberapa perjanjian lain yang mungkin bercanggah dengan perlembagaan kita.

“Jadi, memadai buat masa ini, Malaysia menjadi penaja bersama dan antara penaja utama. Kita tidak mahu menjadi pengerusi bersama kerana kita bukan negara pihak kepada konvensyen berkenaan,” katanya semasa persidangan Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri berhubung usaha Malaysia meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap Israel susulan konflik di Palestin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.