JPNT siap siaga hadapi cuaca panas, BDR antara langkah dipertimbang

Pengarah JPNT, Kamsah@Kamal Mohamed

KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bersiap siaga menghadapi fenomena cuaca panas yang melanda negara ketika ini bagi memastikan keselamatan serta keselesaan pelajar sentiasa terjamin.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPNT tingkat kerjasama agensi untuk memastikan sekolah bersedia menghadapi gelombang cuaca panas.
  • PPD dan sekolah dimaklumkan SOP tindakan termasuk hentikan aktiviti luar bila suhu membimbangkan.
  • Jika cuaca terlalu panas, JPNT akan laksanakan BDR atau pembelajaran dalam talian untuk keselamatan pelajar.

Pengarah JPNT, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, pihaknya kini mempergiat kerjasama dengan pelbagai agensi berkaitan bagi memastikan setiap sekolah berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan perubahan cuaca.

Menurut beliau, semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta pihak sekolah telah dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sekiranya suhu mencecah paras membimbangkan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan keadaan semasa masih terkawal.

“Sekiranya suhu melebihi paras tertentu, sekolah akan mengambil langkah sewajarnya sama ada menghentikan aktiviti luar atau menunggu peringatan daripada pihak meteorologi. Paling penting, jika cuaca terlalu panas, kita akan melaksanakan Belajar Dari Rumah (BDR) iaitu pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Syukur 3.0 di sini yang turut mendapat kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Dalam program tersebut, seramai 200 pelajar asnaf daripada 15 sekolah mewakili 100 keluarga menerima sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur.

Kebanyakan penerima terdiri daripada pelajar yang kehilangan bapa dan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Sementara itu, Pengerusi Program Syukur 3.0, Helmi Rasli berkata, program berkenaan menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah penerima meningkat berbanding tahun lalu.

“Program yang dijalankan tahun ini semakin berkembang. Tahun lalu kita hanya mampu membantu 40 keluarga, namun tahun ini kita berjaya menyantuni kira-kira 100 keluarga,” katanya.

Program Syukur 3.0