Jordan berminat teroka teknologi, kepakaran pertahanan Malaysia

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyambut keberangkatan Raja Jordan Raja Abdullah II pada Istiadat Sambutan Negara sempena lawatan negara di Istana Negara / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Jordan mahu memperkukuh kerjasama pertahanan dan risikan dengan Malaysia, khususnya dalam teknologi dron dan anti dron, susulan perubahan landskap keselamatan serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepakaran industri pertahanan, keupayaan risikan dan bakat muda Malaysia dapat menyokong pemodenan angkatan tentera Jordan.
  • Perubahan keselamatan Asia Barat membuka peluang kerjasama teknologi ketenteraan baharu antara Malaysia dan Jordan.
  • Memperkukuh hubungan risikan penting bagi meningkatkan perkongsian maklumat menghadapi cabaran keselamatan bersama.
  • Perlu pergiat semula hubungan ekonomi, kerjasama pendidikan dan teknologi untuk tingkatkan kemahiran muda serta tarik pelaburan.

Raja Jordan, Raja Abdullah II bertitah, kepakaran industri pertahanan, keupayaan risikan dan bakat muda Malaysia berpotensi menyokong usaha memodenkan angkatan tentera Jordan.

“Kami percaya industri pertahanan, keupayaan risikan dan bakat muda yang dimiliki Malaysia dapat melengkapi usaha transformasi besar-besaran angkatan tentera kami, khususnya dalam aspek peperangan dron dan usaha menangkis dron.

“Saya berharap hubungan perniagaan dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara dapat membuka lembaran baharu dalam hubungan antara angkatan tentera kita,” titah baginda.

Raja Abdullah II bertitah demikian selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Dewan Maharaja, Istana Negara hari ini.

Baginda berkata, konflik dan perkembangan keselamatan di Asia Barat menunjukkan perubahan dalam teknologi ketenteraan, sekali gus membuka peluang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.

Baginda turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan risikan bagi meningkatkan perkongsian maklumat dalam menghadapi cabaran keselamatan bersama.

Dalam bidang ekonomi, Raja Abdullah II berpandangan sektor perniagaan Malaysia dan Jordan perlu kembali mempergiat hubungan menerusi lawatan serta penerokaan peluang perdagangan dan pelaburan.

Menurut baginda, perubahan laluan perdagangan dan rantaian bekalan global menjadikan kerjasama ekonomi baharu semakin penting.

Baginda turut melihat peluang memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan dan teknologi bagi meningkatkan kemahiran generasi muda dalam menghadapi perkembangan teknologi baharu.

Menyentuh hubungan politik, Raja Abdullah II bertitah, Malaysia dan Jordan mempunyai pendirian sehaluan ketika Asia Barat berdepan ketidaktentuan yang dijangka berterusan.

Baginda menegaskan kepentingan kedua-dua negara terus bekerjasama untuk melindungi kepentingan bersama dan menyumbang kepada kestabilan serantau.

Raja Abdullah II turut berharap Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengunjungi Jordan dalam beberapa bulan akan datang bagi memperkukuh hubungan serta meneroka peluang kerjasama lebih luas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.