JMM perkukuh warisan Melayu melalui Program Gempita Istana Puteri Bongsu

BANGI, 18 September – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) komited untuk memperkukuhkan warisan Melayu melalui Program Gempita Istana Puteri Bongsu yang berasaskan pendidikan, penyelidikan serta inovasi teknologi semasa.

Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata program tersebut menjadi platform penting mengangkat seni budaya Melayu, sekali gus memastikan warisan kekal relevan dalam kalangan generasi muda.

“Saya rasa program ini satu program yang baik dan saya melihat bahawa ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) di bawah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu untuk mengembangkan lagi seni budaya dunia Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Gempita Istana Puteri Bongsu yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Program tiga hari berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan penyelidikan, pendidikan, kebudayaan dan khidmat masyarakat dengan matlamat memperkukuh keterlihatan warisan Melayu di era digital.

Antara pengisian utama termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan realiti terimbuh (AR).

Projek Penanaman Pokok bersama rakan strategik serta Pameran Interaktif Kelingkan dan Wayang Kulit turut dianjurkan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat IDEA-UKM, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal menegaskan UKM berperanan memajukan masyarakat melalui penyelidikan, pendidikan dan inovasi, selaras tanggungjawab sosial sebagai universiti watan.

“UKM sangat menggalakkan inisiatif penyelidikan melibatkan agensi kerajaan, swasta dan komuniti. Bangunan Istana Puteri Bongsu ini bukan sahaja berkaitan seni, malah merangkumi elemen sains,” katanya.

Tambah beliau, reka bentuk istana tradisional itu memperlihatkan aspek pengudaraan semula jadi tanpa kipas atau pendingin hawa, membuktikan warisan Melayu sarat dengan nilai seni dan sains.

Penganjuran ini turut disokong British Council, UNESCO, WCO, Majlis Perbandaran Kajang dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sekali gus memperkukuh kolaborasi penyelidikan serta memperluas pengalaman warisan kepada masyarakat.