JKR salur amaran awal tiga tahap banjir hadapi Monsun Timur Laut

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyalurkan amaran awal kepada JKR negeri dan daerah mengikut tiga tahap amaran banjir utama sebagai langkah persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dijangka 5 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKR akan menyalurkan amaran awal mengikut tiga tahap amaran banjir kepada JKR negeri dan daerah.
  • Amaran termasuk pemantauan rapi cerun berisiko di seluruh negara untuk mengurangkan ancaman tanah runtuh.
  • JKR memasang 73 stesen tolok hujan, tiga RTS dan satu unit GNSS di lokasi berisiko banjir.
  • Semua agensi JKR diarahkan memantau rapi dan memastikan keupayaan tindak balas segera terhadap bencana.
  • Matlamat utama ialah tindakan pantas dan koordinasi berkesan demi melindungi nyawa, harta dan infrastruktur.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata amaran itu termasuk memantau secara rapi cerun berisiko di seluruh negara.

Tambah Nanta, JKR telah memasang 73 stesen tolok hujan, tiga Robotic Total Station (RTS) dan satu unit Global Navigation Satellite System (GNSS) di lokasi berisiko banjir.

“Semua agensi di bawah JKR telah diarahkan melakukan pemantauan rapi dan memastikan keupayaan tindak balas segera terhadap sebarang kemungkinan bencana.

“Kita mahu pastikan tindakan pantas dan koordinasi yang berkesan bagi melindungi nyawa, harta benda serta infrastruktur negara,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku sepanjang tempoh monsun tersebut.

Malaysia akan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula 5 November hingga Mac 2026.