fb fb fb fb fb

JKDM Kelantan, Terengganu & Pahang gagalkan cubaan edar dagangan seludup bernilai RM1.9 juta

Wan Jamal Abdul Salam menunjukkan kepada media barangan yang dirampas

KOTA BHARU, 2 Jun- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Terengganu dan Pahang berjaya menggagalkan cubaan mengedar 54 kes pelbagai dagangan seludup bernilai RM1.9 juta menerusi Operasi Palang Timur dan Operasi Makmur III yang berakhir 31 Mei lalu.
 
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan terbesar adalah daging khinzir sejuk beku berjumlah 17,766 kg dengan tiga kes dihasilkan bernilai RM452,858 manakala nilai motorlori yang dirampas dianggarkan RM530,000.
 
Operasi bersepadu yang dilaksanakan sejak 2 Mei itu turut melibatkan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) yang menumpukan kepada rondaan dan risikan di kawasan laut dan pesisir sungai.
 
Jelas beliau, kes terbanyak sepanjang operasi terbabit ialah rampasan rokok seludup iaitu 36 kes atau 242,148 batang rokok dengan jumlah nilai termasuk cukai sebanyak RM213,948.
 
Lain-lain barang yang dirampas termasuk minyak diesel 7,000 liter, minuman keras, ayam sejuk beku, beras dan kenderaan klon dengan nilai keseluruhan berjumlah RM261,153.

Dalam satu lagi operasi bersepadu yang dijalankan COBRA, Pasukan Cawangan Siasatan Khas Ibu Pejabat Kastam bersama Bahagian Operasi Bersepadu, “National Finance Crime Center” (NFCC), di sekitar Seberang Perai dan Butterworth Pulau Pinang, JKDM berjaya menggagalkan cubaan mengedar 2.7 juta batang rokok melibatkan lima kes berasingan berjumlah RM532,104 termasuk RM2.2 juta cukai.
 
Wan Jamal dalam kenyataan media hari ini berkata, modus operandi digunakan adalah membawa masuk dagangan tersebut dari negara jiran melalui sungai golok atau pesisir pantai menggunakan sampan dan dimuatkan menggunakan kenderaan samada lori atau kereta untuk diedarkan kepada peruncit tempatan.
 
Sementara daging khinzir sejuk beku pula adalah untuk pasaran pantai barat Semenanjung.
 
Manakala modus operandi yang digunakan bagi kes hasil operasi di sekitar Seberang Prai dan Butterworth adalah membawa masuk dagangan melalui pintu masuk atau melalui pelabuhan secara pengikraran yang tidak betul untuk diedarkan ke pasaran tempatan, terutamanya Semenanjung.
 
Barang-barang rampasan tersebut tertakluk kepada Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
 
Kes disiasat bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.
 
Suspek juga boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
 
Manakala bagi rokok dan minuman keras, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE