fb fb fb fb fb

JIM Terengganu tahan 13 warga asing, tiada dokumen sah

Foto JIM Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Januari- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu memeriksa 59 warga asing ketika mereka sedang leka bermain dan menonton perlawanan bola sepak di sebuah padang bola dekat Kuala Nerus dalam satu operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiga warga Bangladesh serta 10 warga Myanmar ditahan kerana tidak mempunyai dokumen dan tinggal lebih masa.

Pengarah JIM Terengganu, Azhar Abd Hamid berkata perlawanan bola sepak menjadi tumpuan warga asing kerana difahamkan menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, beberapa warga asing lari menyelamatkan diri daripada dicekup.

JIM memandang serius isu warga asing dan mahu mereka bekerja mengikut perundangan yang betul.

"Kami di Imigresen nak jadikan tempat ini, tempat kerja halal dengan cara yang halal. Maksudnya, mereka perlu ada dokumen. Memang hasrat kita. Di Terengganu tidak sibuk dengan isu sempadan.

Jadi, sasaran kita adalah memperkasa penguatkuasaan supaya sesiapa yang duduk di Terengganu adalah warga asing yang ikut peraturan. Kita mempersilakan untuk mana-mana orang untuk majukan negeri Terengganu tapi dengan cara yang halal," kata Azhar kepada pemberita, di sini.
 
Sepanjang tahun lalu, 5,656 warga asing telah diperiksa melibatkan 1,226 tangkapan.

Dalam pada itu, JIM Terengganu turut menghantar pulang 2,132 warga asing ke negara asal mereka.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM