
SRI AMAN, 28 Ogos – Kualiti udara di Sri Aman pada pagi Jumaat berada pada tahap tidak sihat apabila kawasan berkenaan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi di Sarawak.
- Lubok Antu catat bacaan IPU 190, berada pada tahap tidak sihat dan menghampiri kategori sangat tidak sihat.
- Skala IPU: 101 hingga 200 dikategorikan tidak sihat, 201 hingga 300 dikira sangat tidak sihat.
- JAS melalui APIMS mengemas kini bacaan IPU; awasi maklumat terkini bagi langkah pencegahan.
- Orang ramai terutama kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik dinasihatkan kurangkan aktiviti luar dan ambil langkah berjaga-jaga.
Berdasarkan kemas kini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia, (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat pukul 8.00 pagi, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 193.
Sementara itu, keadaan di Lubok Antu turut membimbangkan dengan bacaan IPU 190, sekali gus berada pada tahap tidak sihat dan menghampiri kategori sangat tidak sihat.
Terdahulu, semua institusi pendidikan bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lubok Antu ditutup pada Jumaat susulan jerebu yang menjejaskan kualiti udara di kawasan berkenaan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, penutupan itu melibatkan 28 sekolah rendah (2,242 murid) dan dua sekolah menengah (1,793 murid).
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu mempunyai masalah kesihatan yang kronik, dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kesan buruk akibat jerebu.