
KAMPAR, 19 Ogos -Jenazah tiga beranak dari Kampar, Perak, yang maut dalam nahas tragis membabitkan sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di ibu negara, awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ayer Hitam Labu, di sini, kira-kira pukul 11.00 malam.
- Jenazah dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
- Jenazah dibawa ke Kampar untuk pengebumian; lebih 300 individu hadir memberi penghormatan terakhir.
- Isteri mangsa, Norhayati Razali, 55, dilaporkan stabil dan menerima rawatan di ICU Hospital Kuala Lumpur.
- Kecelakaan berlaku apabila lori Jabatan Imigresen aktif beacon dan siren masuk persimpangan merah, bertembung kereta, hilang kawalan dan merempuh pejalan kaki.
Terdahulu, jenazah Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12 dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Jamiul Ehsan, Jalan Pahang di Kuala Lumpur.
Ketiga-tiga jenazah kemudian bergerak ke Kampar, pada 8.20 malam untuk urusan pengebumian. Lebih 300 individu hadir memberikan penghormatan terakhir buat ketiga-tiga jenazah.
Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali, 55, yang turut terbabit dalam kemalangan berkenaan dilaporkan telah stabil dan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Media sebelum ini melaporkan tiga pejalan kaki yang merupakan satu keluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh lori JIM di Jalan Sultan Ismail pada kira-kira 1.00 pagi tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori tanpa muatan itu yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin, memandu masuk ke persimpangan ketika lampu isyarat berwarna merah dengan lampu suar (beacon) serta siren diaktifkan.
Lori itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta yang bergerak lurus ketika lampu isyarat hijau, menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta lain.