
KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Kisah pengorbanan seorang pekerja pembersihan M. Kavita yang lebih 12 tahun meredah panas dan hujan demi membesarkan lima anaknya, menyentuh hati Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perdana Menteri mengucap terima kasih dan mendoakan kekuatan, kesihatan serta penghormatan untuk Kavita dan warga pekerja pembersihan.
- Anugerah Khas diberikan kepada Kavita pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 anjuran SWCorp.
- Kisahnya tular selepas anak-anak memberikan kejutan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50 semasa dia sedang bekerja.
- Anak-anak hadir memakai uniform profesional seperti juruterbang dan jururawat hingga membuat Kavita menangis kegembiraan.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Datuk Seri Anwar berkata segala penat lelah dan pengorbanan Kavita akhirnya terbalas apabila kelima-lima anaknya berjaya dalam bidang masing-masing.
“Semoga saudari Kavita dan seluruh warga pekerja pembersihan terus diberikan kekuatan, kesihatan dan penghormatan yang selayaknya.
“Terima kasih atas segala bakti dan keringat dalam menjaga kebersihan serta kesejahteraan kita semua,” katanya.
Perdana Menteri berkata pengorbanan Kavita turut dihargai menerusi Anugerah Khas pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2026 anjuran SWCorp, semalam.
Terdahulu, kisah Kavita tular di media sosial apabila anak-anaknya memberikan kejutan ketika dia sedang bekerja sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-50.
Lebih menyentuh hati apabila anaknya hadir dengan mengenakan uniform pekerjaan masing-masing, antaranya juruterbang dan jururawat, menyebabkan Kavita menangis kegembiraan menerima kejutan tersebut.