fb fb fb fb fb

Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak selamat dikebumikan

KUCHING, 29 Januari- Jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Kuching, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Upacara pengebumian diadakan dengan penuh istiadat ketenteraan oleh Batalion ke-10 Rejimen Renjer Diraja.

Hadir memberi penghormatan terakhir selain ahli keluarga adalah Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib, Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta pemimpin-pemimpin tempatan.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Jamek, Petra Jaya pukul 10.30 pagi bagi penghormatan terakhir dan solat jenazah.

Allahyarham meninggal dunia pada pukul 11.47 malam semalam di Pusat Perubatan Normah di Kuching akibat sakit tua.

Allahyarham Tun Salahuddin, lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada tahun 1977 hingga 1981 dan dilantik semula pada 2001 hingga 2014.

Allahyarham merupakan individu pertama yang berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri sebanyak dua kali.

Pada tahun 2000, Allahyarham Tun Salahuddin menjadi pemangku Yang di-Pertua Negeri, menyandang jawatan itu Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce tidak dapat menjalankan tugas kerana jatuh sakit.

Allahyarham Tun Ahmad Zaidi meninggal dunia Disember 2000, yang menyaksikan Allahyarham Tun Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan itu pada Februari 2001 dengan penggalnya berakhir secara rasmi pada 28 Februari 2014.

Media Baharu