GUA MUSANG, 2 Disember- Jalan lencongan sementara akan dibina bagi memberi kemudahan kepada penduduk untuk berulang-alik menghantar anak mereka ke sekolah selepas laluan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di Gua Musang runtuh sepenuhnya pada Ahad.
Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud berkata, pihaknya telah mengeluarkan peruntukan serta-merta bagi membina jalan lencongan berkenaan.
Laluan berkenaan menjejaskan kehidupan harian lebih 3,000 penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.
"Tindakan ini kita kena segera lakukan supaya tidak membantut urusan kelangsungan urusan harian rakyat sekitar khususnya dari Gua Musang ke Jeli.
"Kita perlu segera menghadapi gelombang banjir dan perlu selesaikan segera masalah runtuhan jalan. Tindakan semua agensi-agensi terlibat dapat menyegerakan proses tersebut dan bekerjasama dengan tentera kita dapat selesaikan jambatan bailey dan juga pembinaan jalan lencongan sementara," katanya.
Sebelum itu, laluan kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli ditutup untuk semua kenderaan selepas jalan tersebut runtuh sepenuhnya susulan hujan lebat melanda kawasan tersebut.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jerek, Wan Zahari Wan Harun berkata sebelum runtuhan berlaku, keadaan cuaca hujan sehingga menyebabkan air dari pembetung bersebelahan laluan terbabit melimpahi permukaan jalan berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan sebuah Jambatan Bailey akan dibina di Kilometer 35 Jalan Gua Musang-Jeli.
Penilaian terhadap struktur tanah di lokasi berkenaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi memastikan ia sesuai untuk menampung pembinaan infrastruktur tersebut.