KUALA LUMPUR, 21 April- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang meneliti kenyataan yang tular di media berkaitan dakwaan kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan umrah dan haji, susulan keresahan dalam kalangan masyarakat Islam.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya mengambil maklum laporan bertajuk “PRK Ayer Kuning: Kemenangan politik lebih utama daripada tunai umrah dan haji”, yang mencetuskan kekeliruan serta kebimbangan umat Islam.
Jelasnya, tindakan lanjut sedang diambil, termasuk perbincangan dengan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berautoriti lain yang berkelayakan dalam hal ehwal agama Islam.
“JAKIM menegaskan bahawa sebarang kenyataan berkaitan ibadah dan hukum-hakam perlu dirujuk kepada pihak yang berautoriti, bagi mengelak salah tafsir dan manipulasi yang boleh menggugat keharmonian umat,” katanya.
Dalam masa sama, masyarakat diingatkan agar mengekalkan adab dan nilai murni dalam membincangkan isu agama, terutamanya menjelang Pilihan Raya Kecil DUN Ayer Kuning yang semakin hampir.