fb fb fb fb fb

Jajaran landasan keretapi elektrik Gemas-Johor Bahru dijangka siap penghujung tahun ini

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR, 14 Mac - Jajaran landasan keretapi berkembar elektrik dari Gemas ke Johor Bahru dijangka siap penghujung tahun ini.

Justeru, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata perkhidmatan ETS yang kini beroperasi sehingga ke Stesen Gemas akan dilanjutkan ke Stesen Johor Bahru.

"KTMB mempunyai perancangan memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan bagi laluan Gemas-Paloh-Johor Bahru.

"MOT menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan set tren elektrik baharu secara pajakan untuk digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan kelak," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dewan turut dimaklumkan, kerajaan kini sedang membuat perolehan sebanyak 10 set tren elektrik baharu dalam menyokong operasi perkhidmatan ETS di sektor selatan.

Menyentuh mengenai cadangan penambahan stesen-stesen komuter di sepanjang jajaran di Johor pula, Anthony berkata, cadangan tersebut sedang dipertimbangkan manakala pembinaan stesen tersebut  tidak semestinya dibuat pihak kerajaan.

Justeru, katanya kerjasama Awam Swasta (PPP) amat digalakkan bagi merealisasikan cadangan berkenaan, khususnya dalam mewajibkan pihak pemaju perumahan atau bangunan membina stesen tambahan di kawasan pembinaan mereka

“Iaitu stesen ini tidak semestinya dibina kerajaan, umpamanya di sekitar stesen itu jika ada pembangunan perumahan antara perkara kita boleh laksanakan sebelum luluskan rancangan pembangunan ialah mewajibkan pemaju bina stesen tambahan dengan kosnya kepada mereka (swasta),” katanya.

Beliau berkata sekiranya pemaju sanggup mengeluarkan kos bagi pembinaan stesen tambahan yang menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen berkenaan, langkah itu dilihat boleh meningkatkan nilai pembangunan dan hartanah di kawasan pemaju.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI