MyKad versi baharu dikeluarkan secara berperingkat

Foto RTM

PUTRAJAYA, 17 September – MyKad generasi baharu yang dilengkapi penambahbaikan dari segi reka bentuk, ciri keselamatan dan fungsi mula dikeluarkan secara berperingkat pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan dibuat di 40 lokasi JPN dan UTC; cawangan dengan pusat cetakan siap hari sama, lain-lain dalam lima hari bekerja.
  • Pemegang KPP, KPT dan MyKad tanpa 'ghost image' perlu menukar; pemegang MyKad sedia ada tidak perlu tergesa sekiranya kad tidak rosak.
  • MyKad baru tidak mengubah nombor atau maklumat peribadi, tidak menjejaskan kelayakan SARA; kemudahan Touch 'n Go tidak disediakan.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, permohonan boleh dilakukan di 40 lokasi JPN dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) seluruh negara.

Dalam pada itu, cawangan yang dilengkapi pusat cetakan bersedia mencetak MyKad baharu dengan tempoh siap pada hari yang sama.

Manakala bagi permohonan di cawangan tanpa kemudahan cetakan, permohonan masih boleh dibuat seperti biasa dengan tempoh siap dalam lima hari bekerja.

Tinjauan RTM di JPN Putrajaya pada hari pertama pengeluaran kad itu mendapati, ruang menunggu dipenuhi orang ramai bagi pelbagai urusan, termasuk permohonan baharu dan penggantian MyKad.

Meskipun kehadiran pelanggan agak ramai, urusan di kaunter dilihat berjalan lancar.

Bagi Puteri Nur Syafiqah Jailani, 19 tahun, dari Putrajaya menyifatkan proses permohonan menerusi sistem janji temu dalam talian sebagai mudah dan menjimatkan masa.

“Prosesnya mudah. Kita buat janji temu secara dalam talian terlebih dahulu dan pengesahan akan dihantar melalui e-mel. Kemudian, datang ke kaunter, tunjukkan pengesahan janji temu, ambil nombor giliran, teruskan proses mengambil gambar dan membuat bayaran. Selepas itu, kita datang semula untuk mengambil kad.” Katanya.

Sementara itu, Shaza Nuizeaan Shafie, 48 tahun, dari Puchong hadir bagi urusan dua anaknya, masing-masing untuk menukar gambar dan membuat permohonan MyKad pada usia 12 tahun.

Beliau turut berpuas hati dengan kelancaran perkhidmatan meskipun jumlah pelanggan agak ramai.

“Saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Walaupun jumlah pelanggan agak ramai, namun alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.” kata Shaza Nuizeaan.

Bagaimanapun, pemegang MyKad sedia ada tidak perlu tergesa gesa menukar kad mereka, selagi kad berkenaan tidak rosak.

Sebaliknya bagi pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) serta MyKad tanpa ciri “ghost image” pula perlu membuat pertukaran kepada MyKad Generasi Baharu.

Pengeluaran kad versi baharu itu tidak akan mengubah nombor kad pengenalan atau maklumat peribadi pemegangnya selain boleh digunakan bagi urusan bantuan dan subsidi kerajaan yang menggunakan MyKad sebagai medium pengesahan atau penebusan.

Pertukaran kad juga tidak akan menjejaskan baki atau kelayakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Bagaimanapun kemudahan Touch ’n Go tidak lagi disediakan dalam MyKad Generasi Baharu dan pengguna perlu menggunakan eWallet atau kad Touch ’n Go secara berasingan.

Bagi Foo Yew Jin dari Petaling Jaya, proses penggantian MyKad akibat kehilangan kali ini merupakan yang terpantas sepanjang enam kali beliau berurusan mendapatkan kad pengenalan.

Beliau turut menyambut baik penambahbaikan ciri keselamatan dan fungsi pada kad berkenaan.

“Sebenarnya kad itu nampak lebih kukuh dan lebih menarik. Berdasarkan apa yang saya maklum, kad ini lebih tahan lasak dan dijangka mempunyai lebih banyak fungsi pada masa akan datang. Cuma, kekurangannya ialah kemudahan Touch ’n Go sudah tiada, kata Foo Yew Jin.

Bayaran penggantian MyKad Generasi Baharu tertakluk kepada kategori permohonan dan kadar ditetapkan JPN.

Orang ramai yang ingin membuat penggantian digalakkan mendapatkan janji temu menerusi portal MyJanjiTemu JPN bagi memudahkan urusan di kaunter.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.