J-KOM 4.0 tingkat kecekapan salur suara rakyat

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 11 Jun – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memperkenalkan pendekatan lebih pantas, responsif dan proaktif menerusi gagasan “J-KOM 4.0” bagi memastikan suara rakyat dapat disampaikan secara berkesan kepada kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuh komunikasi dua hala: sampaikan maklumat kerajaan dengan jelas dan salurkan isu serta kebimbangan rakyat kepada pemimpin untuk tindakan.
  • Responsif terhadap isu tular: ambil tindakan segera apabila perkara mencetuskan keresahan dalam kalangan komuniti.
  • Pergi turun padang untuk gambaran sebenar; teliti kebanjiran warga asing dan kesan perniagaan luar terhadap peniaga tempatan.

Ketua Pengarah J-KOM, Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, antara fokus utama adalah memastikan maklumat kerajaan disampaikan dengan jelas kepada rakyat, selain membawa isu dan kebimbangan masyarakat terus kepada pihak berkepimpinan untuk tindakan susulan.

“Selepas diberi amanah menerajui J-KOM empat hari lalu, saya bertanggungjawab memastikan maklumat kerajaan sampai kepada rakyat, manakala suara rakyat dan komuniti pula dapat disalurkan terus kepada kerajaan.

“Ini bagi memperkukuh fungsi J-KOM sebagai medium komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan yang didakwa mengganggu operasi di Kementerian Komunikasi, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini
hari ini.

Mohd Hisyamuddin berkata, J-KOM akan mengambil perhatian terhadap setiap isu tular yang mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat dan komuniti setempat.

Katanya, sebarang kebimbangan yang timbul di peringkat akar umbi perlu disalurkan segera kepada kerajaan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

Sehubungan itu, J-KOM akan mempergiat pendekatan turun padang bagi mendapatkan gambaran sebenar sesuatu isu sebaik sahaja ia dibangkitkan oleh rakyat.

Sebagai contoh, beliau sendiri telah turun ke beberapa lokasi yang menjadi perhatian umum susulan isu melibatkan komuniti Rohingya pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah J-KOM.

Menurut beliau, kerajaan memandang serius isu kebanjiran warga Rohingya serta kegiatan perniagaan warga asing yang didakwa memberi kesan kepada peluang dan pendapatan peniaga tempatan, khususnya dalam kalangan Bumiputera.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.