Isu upah jahit pakaian seragam: PDRM pastikan proses bayaran dipercepat

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan bahawa isu tuntutan bayaran upah jahit pakaian seragam pegawai dan anggotanya sedang diselesaikan mengikut tatacara kewangan serta proses ditetapkan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM memberi jaminan isu tuntutan upah jahit pakaian seragam sedang diselesaikan mengikut tatacara kewangan kerajaan.
  • JLOG PDRM maklum tentang keresahan warga pasukan berikutan isu yang tular di media sosial.
  • PDRM, KDN dan agensi berkaitan mempercepatkan proses pembayaran tuntutan.
  • PDRM menegaskan isu tidak menjejaskan kesiapsiagaan atau tugas keselamatan negara menjelang acara antarabangsa 2025.
  • PDRM menyeru orang ramai bertenang dan komited menjaga kebajikan pegawai selaras semangat Malaysia Madani.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi (JLOG) PDRM, CP Gilbert Andrew Philip Layang berkata pihaknya maklum terhadap keresahan warga pasukan susulan isu berkenaan yang tular di media sosial.

Menurutnya, JLOG bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi pusat berkaitan telah mengambil langkah mempercepatkan proses pembayaran tersebut.

“PDRM amat memahami kepentingan kebajikan warga pasukan dan usaha penyelarasan sedang giat dijalankan agar semua tuntutan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, isu itu tidak menjejaskan tahap kesiapsiagaan serta tanggungjawab utama PDRM dalam memastikan keselamatan negara, khususnya menjelang penganjuran pelbagai acara antarabangsa sepanjang 2025.

PDRM turut menyeru semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada proses pentadbiran yang sedang berjalan bagi memastikan setiap tuntutan diproses secara teratur dan efisien.

PDRM turut menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kebajikan pegawai dan anggotanya selaras dengan prinsip kesejahteraan perkhidmatan awam serta semangat Malaysia Madani.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.