KUALA LUMPUR, 1 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjanji kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun dalam isu rasuah.
Dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ismail Sabri berkata kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan mengecualikan atau menyelamatkan mana-mana individu yang terlibat dengan aktiviti rasuah jika didapati bersalah.
Beliau berkata, individu yang terlibat dalam jenayah itu perlu bertanggungjawab dan hanya mahkamah akan menjadi tempat penentu sama ada mereka bersalah atau sebaliknya.
“Saya percaya Yang Berhormat tahu banyak kes sedang berjalan di mahkamah melibatkan sesiapa sahaja tidak kira dari pihak pembangkang mahupun kerajaan.
“Kita lihat hari ini banyak lagi kes sedang berjalan di mahkamah dan itu menunjukkan kerajaan serius dari segi mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengamalkan rasuah.
“Begitu juga dengan perkara-perkara lain yang dibangkitkan dan pihak kerajaan tidak melindungi sesiapa. Sesiapa sahaja yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke mahkamah dan mahkamah lah menentukan orang itu bersalah atau tidak,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan tambahan, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim adakah kerajaan serius bertindak terhadap kes atas individu yang terlibat dengan kes rasuah kerana tiada langkah proaktif yang diambil untuk menangani perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kemerosotan indeks persepsi rasuah bukan sekadar bergantung pada aktiviti rasuah, namun, turut melibatkan nilai-nilai yang berbeza bagi agensi-agensi antarabangsa yang mempunyai pandangan berbeza.
“Sebenarnya, dari segi kemerosostan kedudukan kita, bukan sebab kes-kes rasuah tetapi disumbang oleh perkara lain seperti hak asasi yang mungkin berpandangan daripada badan-badan antarabangsa berbeza daripada nilai di negara kita tetapi mereka melihat hak asasi dalam nilai mereka.
“Terdapat keperluan pembaharuan institusi dan akta-akta yang perlu dipinda seperti Rang Undang-Undang Sumbangan Dana Politik misalnya, yang ini juga merupakan satu tuntutan daripada badan antarabangsa supaya kita laksanakan di negara kita.
Katanya lagi, kesediaan Malaysia untuk dinilai menerusi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 menunjukkan ketelusan dan komitmen kerajaan dalam penambahbaikan tadbir urus.
"CPI Malaysia untuk tahun 2021 dikira berdasarkan sembilan daripada 13 kajian yang dilaksanakan oleh pelbagai agensi Antarabangsa.
"Laporan tersebut menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tempat kedua terbaik selepas Singapura dan antara sembilan negara ASEAN yang terlibat.
"Antara perkara yang mempengaruhi skor dan kedudukan negara dalam CPI adalah soalan berbeza yang digunakan antara negara, responden atau kumpulan sasar serta jumlah penglibatan negara yang berbeza setiap tahun. sebagai contoh, kajian CPI tahun 2021 tidak melibatkan negara Brunei, katanya.
(Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Terdahulu, Anwar turut bertanya mengapa tiada sikap kesungguhan pimpinan khususnya perdana menteri untuk menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) harus bertindak tanpa ragu terhadap siapa sahaja.
Menurut Anwar, beliau telah membangkitkan isu Pandora Papers dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang belum terungkai dan individu yang terlibat masih bebas untuk ke mana sahaja seperti tiada masalah.
“Persepsi ini merosakan imej negara kalau tiada kesediaan bagi pihak pimpinan politik. Saya tahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mempunyai peranan besar dalam hal ini tetapi tekad politik juga perlu.
“Kita tidak boleh katakan persepsi ini persepsi biasa kerana ada keterangan baru yang menggemparkan serta melibatkan institusi penting negara termasuk Bank Negara dan kita nampak keengganan bertindak sama ada mantan-mantan perdana menteri terlibat,” katanya.