Isu pencemaran perlu diambil kira dalam usaha cegah kanser

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah

SUBANG JAYA, 5 September – Usaha mencegah kanser bukan hanya tertumpu kepada tabiat merokok dan gaya hidup, sebaliknya perlu mengambil kira pelepasan sisa sektor industri, asap ekzos kenderaan serta pencemaran air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangani pencemaran industri, asap ekzos dan pembakaran yang dikaitkan dengan leukemia kanak-kanak serta kanser paru, pundi kencing dan payudara.
  • Kawal pencemaran air dan tanah; risiko kanser hati dan sistem pencernaan meningkat bagi penduduk berhampiran kilang.
  • Belajar daripada 'cancer alleys'; utamakan keselamatan komuniti seiring pembangunan industri untuk melindungi kesihatan awam dan kanak-kanak.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah, terdapat keperluan mendesak untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan kaitannya dengan peningkatan kadar kanser secara serius bagi memastikan kesihatan awam terus terpelihara.

“Bahan kimia yang dilepaskan sektor perindustrian, kenderaan dan pembakaran bahan api turut dikaitkan dengan penyakit leukemia dalam kalangan kanak-kanak serta kanser paru-paru, pundi kencing dan payudara dalam kalangan orang dewasa yang terdedah kepada pencemaran untuk tempoh yang lama.

“Air dan tanah yang tercemar juga membawa risiko tersendiri. Pencemaran itu dikaitkan dengan kanser hati dan sistem pencernaan, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berhampiran kilang.

“Sehubungan itu, apabila berbicara mengenai pencegahan kanser, kita juga mesti secara jujur membincangkan sisa yang dilepaskan oleh kilang-kilang, apa yang kenderaan kita lepaskan di jalan-jalan raya dan apa yang kita benarkan mendap sehingga masuk ke dalam paru-paru seorang kanak-kanak yang sedang tidur,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Kongres Kanser Kebangsaan Malaysia 2026 bertemakan ‘Bridging Gaps, Building Hope, Empowering Lives’ anjuran bersama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sunway di Bandar Sunway hari ini.

Baginda turut menegaskan supaya Malaysia mengambil pengajaran daripada kemunculan daerah yang digelar sebagai ‘cancer alleys’ di beberapa kawasan di seluruh dunia.

Kawasan berkenaan menyaksikan perkembangan aktiviti perindustrian secara intensif yang berlaku lebih pesat berbanding usaha memperkukuh langkah keselamatan bagi melindungi komuniti setempat.

“Masalah ini bukan hanya berlaku di negara atau industri tertentu. Malaysia juga perlu mengambil perkara ini sebagai satu peringatan, memandangkan negara mempunyai kawasan perindustrian sendiri serta sungai yang mengalir berhampiran kilang dan kawasan perladangan.

“Situasi yang berlaku di negara lain wajar dijadikan pengajaran supaya keselamatan dan kesihatan penduduk sentiasa diberi perhatian seiring dengan perkembangan industri,” titah baginda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.