
KOTA KINABALU, 5 Sept – Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS) bukan sahaja mencatat sejarah sebagai fasiliti rujukan kepakaran pergigian non-hospital-based pertama di Malaysia Timur, tetapi memberi manfaat kepada sejumlah besar penduduk Borneo, iaitu kira-kira 3.95 juta orang.
- Berfungsi sebagai hab rujukan bagi Sabah, utara Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
- Mengumpulkan empat disiplin kepakaran pergigian: Restoratif, Periodontik, Ortodontik dan Kesihatan Awam Pergigian.
- Mengurangkan kesesakan rujukan tertiari; klinik primer terus berperanan sebagai gate-keeper.
- Diperkukuh KKM sebagai Pusat Kecemerlangan: integrasi rawatan klinikal, latihan, penyelidikan, inovasi dan peruntukan peralatan RM500,000.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PPPS berperanan sebagai hab rujukan bagi penduduk Sabah, utara Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Ia juga sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh rangkaian perkhidmatan pergigian secara lebih tersusun dan responsif.
“PPPS turut menghimpunkan empat disiplin utama kepakaran pergigian di bawah satu bumbung, iaitu Pergigian Restoratif, Periodontik, Ortodontik dan Kesihatan Awam Pergigian,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Pakar Pergigian Sabah (PPPS) di Kota Kinabalu hari ini.
Menurutnya, sejak mula beroperasi pada 5 Januari lalu hingga 31 Ogos, pusat berkenaan telah merekodkan lebih 8,500 kehadiran pesakit.
Penubuhan PPPS juga dilihat mampu mengurangkan kesesakan rujukan tertiari di hospital awam, dengan klinik pergigian primer sedia ada terus berperanan sebagai gate-keeper bagi memastikan pesakit dirujuk mengikut keperluan kepakaran.
Dr Dzulkefly berkata, KKM turut menyasarkan PPPS berkembang sebagai Pusat Kecemerlangan Kepakaran Pergigian bagi Zon Malaysia Timur yang mengintegrasikan rawatan klinikal, latihan, penyelidikan, inovasi dan kerjasama strategik.
Dalam pada itu, beliau meluluskan peruntukan RM500,000 bagi memenuhi keperluan peralatan di PPPS.
Katanya, kelulusan itu membabitkan lima keperluan utama bagi menyokong pengurusan kes, rawatan, dokumentasi serta penyelidikan di pusat berkenaan.
“Penyediaan kemudahan ini dapat mengurangkan keperluan rujukan ke fasiliti hospital lain, sekali gus menjimatkan masa perjalanan serta mengelakkan kelewatan dalam perancangan rawatan,” katanya.
Langkah itu merupakan antara usaha KKM memperkukuh kemudahan dan perkhidmatan pergigian pakar di Sabah, termasuk menyediakan akses rawatan yang lebih komprehensif kepada rakyat.