
PUTRAJAYA, 5 September – Kenyataan sebahagian pihak yang mendakwa bahawa sesiapa yang menyokong mereka akan dijamin masuk syurga wajar diperbetulkan malah ia adalah ganjaran mutlak Allah SWT berdasarkan iman, tauhid dan amal soleh seseorang hamba.
- Syurga bukan milik eksklusif mana-mana kumpulan menurut akidah Ahli Sunnah Waljamaah.
- Balasan syurga diberikan berdasarkan keikhlasan tauhid, iman dan amal soleh, bukan identiti kaum atau puak.
- Ayat Al Baqarah menegaskan balasan bukan berdasarkan pengenalan kumpulan, tetapi mengesakan Allah dan kebaikan amalan.
- Mengaitkan jaminan syurga dengan sokongan kepada individu boleh mencetus kekeliruan dan dieksploitasi untuk kepentingan tertentu.
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dalam kenyataan menerusi Tinta Mufti menjelaskan tindakan itu bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah yang menetapkan bahawa syurga bukanlah hak eksklusif mana-mana kumpulan.
Menerusi ayat 111-112 dalam Surah Al Baqarah yang diturunkan sempena dakwaan angkuh sebahagian Yahudi dan Nasrani yang menyandarkan jaminan syurga kepada identiti agama dan kumpulan mereka semata-mata.
“Allah SWT menjawab dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa balasan syurga diberikan kepada sesiapa sahaja yang berserah diri (Islam) kepada-Nya dengan penuh keikhlasan tauhid serta baik amalannya (ihsan), bukan berdasarkan pengenalan kaum, kumpulan atau puak tertentu.
“Prinsip inilah yang menjadi asas akidah Ahli Sunnah Waljamaah bahawa tiada satu pun kumpulan manusia yang diberikan jaminan istimewa oleh syarak untuk memonopoli syurga bagi pengikutnya semata-mata kerana kesetiaan kepada kumpulan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Terdapat pelbagai hadis yang menunjukkan pintu harapan syurga terbuka luas kepada seluruh manusia yang mengesakan Allah SWT, tanpa syarat kesetiaan kepada mana-mana kumpulan atau tokoh tertentu.
Kenyataan yang mengaitkan jaminan syurga dengan sokongan kepada individu atau kumpulan tertentu adalah dakwaan yang tidak berasas dari sudut syarak dan boleh menyebabkan kecelaruan kefahaman dalam kalangan masyarakat awam, kerana perbincangan soal syurga dan neraka perlulah menggunakan mizan perkara ghaib.
Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil turut berharap agar isu akidah berkenaan tidak dieksploitasi untuk kepentingan tertentu, kerana urusan syurga dan neraka adalah hak mutlak Allah SWT berdasarkan keikhlasan tauhid, keimanan dan ketaatan seseorang hamba, bukan berdasarkan sokongan kepada sesiapa pun di dunia ini.