
KUALA LUMPUR, 7 September – Kementerian Pengangkutan (MOT) menyerahkan sepenuhnya kepada polis siasatan berhubung isu keselamatan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang menyaksikan enam individu ditahan.
- MOT berkata mereka tidak mempunyai akses kepada maklumat siasatan kerana perkara itu di bawah bidang kuasa polis.
- MOT dan CAAM mengambil langkah tambahan untuk memperkukuh aspek keselamatan penerbangan.
- Pemeriksaan yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan terhadap juruterbang, kru kabin dan pihak berkaitan.
- MOT dan CAAM memberi kerjasama penuh kepada polis termasuk menyediakan kemudahan lapangan terbang dan kakitangan untuk temu bual.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak mempunyai akses kepada maklumat lanjut berhubung perkembangan siasatan kerana perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa polis.
“Perkara itu kini sedang dalam siasatan polis dan kami tidak mempunyai akses kepada maklumat tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Ketua Pengarah Penerbangan Awam Asia dan Rantau Pasifik ke-61 (DGCA/61), di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata MOT dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil langkah tambahan bagi memperkukuh aspek keselamatan penerbangan.
Katanya, pemeriksaan lebih menyeluruh akan dilaksanakan terhadap juruterbang, kru kabin dan pihak berkaitan bagi memastikan tahap keselamatan penerbangan sentiasa terjamin.
“MOT dan CAAM telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan pemeriksaan yang lebih menyeluruh dijalankan terhadap juruterbang, kru kabin dan sebagainya,” katanya.
Loke berkata, MOT dan CAAM turut memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang siasatan, termasuk menyediakan akses kepada kemudahan lapangan terbang serta kakitangan yang diperlukan untuk membantu proses temu bual.
DGCA/61 yang berlangsung dari 7 hingga 11 September, anjuran CAAM, menjadi platform perbincangan ketua-ketua penerbangan awam dan pemimpin industri rantau Asia Pasifik mengenai keutamaan serta cabaran sektor penerbangan.
Persidangan itu turut membincangkan isu utama berkaitan penerbangan, termasuk aspek keselamatan, kelestarian alam sekitar dan penggunaan teknologi baharu.