
CYBERJAYA, 7 September – Kerajaan tidak akan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang telah diluluskan, sebaliknya mengoptimumkan sumber sedia ada bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
- Utamakan penggunaan kemudahan dan sumber sedia ada antara PKD dan NADI tanpa membina infrastruktur baharu jika masih boleh diperkasakan.
- Nilai kejayaan program berdasarkan impak kepada rakyat: bantu anak muda mendapat pekerjaan, usahawan tingkatkan jualan, dan tambah pendapatan keluarga.
- Penyelarasan fungsi dan perkongsian sumber elakkan pertindihan serta lapisan pentadbiran, memastikan perkhidmatan tidak terjejas dan manfaat sampai ke luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, prinsip berkenaan perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan kerjasama strategik antara Pusat Komuniti Desa (PKD) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Tidak pernah ada sebuah kementerian yang membelanjakan lebih daripada yang diperuntukkan? Apa yang dibelanjakan itu secara tidak langsung menjawab soalan KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan).
“Berapa peruntukan yang ada? Mana ada bajet yang cantik. Mana mungkin Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membelanjakan bajet melebihi daripada apa yang dinyatakan dalam ucapan belanjawan atau apa yang diperuntukkan.
“Justeru penyelarasan kedua-dua platform itu perlu mengutamakan penggunaan kemudahan dan sumber sedia ada tanpa keperluan membina infrastruktur baharu sekiranya kemudahan yang ada masih boleh diperkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi pembukaan bengkel kerjasama strategik PKD KKDW hari ini di menara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja dapat mengurangkan pertindihan, malah membolehkan sumber kerajaan digunakan secara lebih optimum untuk memperluas manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata, kejayaan sesuatu program tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah aktiviti atau peruntukan yang dibelanjakan semata-mata, sebaliknya berdasarkan impak yang dihasilkan kepada rakyat.
Katanya, ukuran sebenar ialah sejauh mana program berkenaan mampu membantu lebih ramai anak muda mendapatkan pekerjaan, usahawan meningkatkan jualan dan keluarga menambah pendapatan.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mengelakkan penambahan lapisan pentadbiran sekiranya sesuatu proses boleh dipermudah menerusi penyelarasan antara agensi.
Dalam konteks kerjasama PKD dan NADI, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, kedua-dua kementerian perlu menyelaraskan fungsi, berkongsi sumber serta memanfaatkan kemudahan yang telah tersedia.
Beliau turut menegaskan penyelarasan berkenaan perlu diterjemahkan kepada satu ekosistem komuniti yang lebih tersusun, tanpa menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat sepanjang proses tersebut.
Justeru, pendekatan itu penting bagi memastikan setiap ringgit yang diperuntukkan kerajaan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan peluang ekonomi dan kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.