Bicara tangguh, Shahrir Samad dan Tommy Thomas runding kemungkinan selesai kes saman

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Sept – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes saman difailkan Tan Sri Shahrir Samad terhadap bekas Peguam Negara (AG) Tan Sri Tommy Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya dan dua yang lain bagi membolehkan pihak terlibat berunding bagi penyelesaian kes saman berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peguam Firoz Hussein memaklum terdapat perkembangan positif serta perbincangan antara plaintif dengan defendan kedua hingga keempat, perlu mendapatkan arahan anak guam.
  • Firoz memohon kebenaran berbincang cadangan penyelesaian dan akan kembali menghadap Hakim pada Rabu untuk perbincangan lanjut.
  • Peguam Alan Adrian Gomez serta Zureen Elina mengesahkan pihak-pihak sedang berbincang dan tidak membantah usaha mencapai penyelesaian.
  • Shahrir memfailkan saman Disember 2023 berkaitan cek RM1 juta daripada Najib; Thomas menafikan tuduhan dan Shahrir pernah dibebaskan pada 5 Jan 2023.

Hakim Gan Techiong menangguhkan perbicaraan selepas peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Shahrir, memaklumkan bahawa terdapat perbincangan antara anak guamnya dengan defendan-defendan berhubung penyelesaian kes itu.

“Seperti yang kami nyatakan sebelum ini, terdapat beberapa perkembangan positif serta perbincangan antara plaintif dengan defendan kedua hingga keempat. Sehubungan itu, kami perlu mendapatkan arahan daripada anak guam kami.

“Kami memohon kebenaran Yang Arif untuk berbincang mengenai perkara ini, khususnya berhubung cadangan penyelesaian pertikaian tersebut. Kami juga dengan hormat memohon agar prosiding pagi ini dilapangkan bagi membolehkan kami mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara berkenaan. Kami akan kembali menghadap Yang Arif pada Rabu (9 Sept),” kata Firoz Hussein.

Peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Thomas selaku defendan pertama dan Peguam Kanan Persekutuan Zureen Elina Mohd Dom mewakili tiga defendan lain mengesahkan pihak-pihak sedang berbincang untuk penyelesaian selain tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan pada hari ini.

Hakim Gan kemudian menangguhkan prosiding sehingga 9 Sept ini bagi membolehkan pihak-pihak terlibat memaklumkan kepada mahkamah mengenai status cadangan penyelesaian saman berkenaan.

Sepatutnya, Shahrir menyambung keterangannya dalam saman itu hari ini.

Pada Disember 2023, Shahrir memfailkan saman terhadap Thomas, Latheefa, SPRM dan Kerajaan Malaysia berhubung pendakwaan berniat jahat.

Tindakan saman bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterimanya daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Thomas yang berkhidmat sebagai AG dari Jun 2018 hingga Februari 2020 menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa, dan menyifatkan ia sebagai “tidak boleh dipertahan”, dan turut menjelaskan yang beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020 dan perbicaraan kes jenayah Shahrir bermula pada 26 Julai 2022.

Pada 5 Jan 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan sebanyak RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.