
KUALA LUMPUR, 20 Oktober- Dakwaan mengenai kegiatan “jenayah korporat” dan isu salah guna kuasa melibatkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) antara yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
- Ahli Parlimen meminta Perdana Menteri jelaskan perkembangan dakwaan pelanggaran undang-undang oleh kumpulan korporat yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa.
- Pertanyaan mengenai status siasatan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan FELDA serta anak syarikat FELDA Investment Corporation.
- Menteri Ekonomi diminta nyatakan indikator, sasaran kuantitatif dan tempoh pencapaian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
- Persidangan diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 susulan pembentangan Belanjawan 2027; tempoh perbahasan dijadualkan mengikut takwim Parlimen.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) meminta Perdana Menteri menyatakan perkembangan terkini mengenai dakwaan kegiatan “jenayah korporat” yang melibatkan pelanggaran hukum dan tindakan yang telah diambil selama ini.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) pula bertanya kepada Perdana Menteri mengenai status terkini siasatan kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan FELDA termasuk anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation.
Usai sesi itu, persidangan diteruskan menerusi sesi soal jawab, dengan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) meminta Menteri Ekonomi menyatakan indikator dasar, sasaran kuantitatif dan tempoh pencapaian yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 bagi mengurangkan jurang pembangunan antara daerah.
Selain itu, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai pencapaian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 serta nilai tambah dan pelaburan susulan yang bakal direalisasikan hasil memorandum persefahaman yang dimeterai.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pula meminta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan bersedia menjadikan prinsip pelantikan berasaskan merit dan bebas daripada kepentingan politik sebagai antara dasar utama tadbir urus Tabung Haji selaras dengan satu daripada syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Selesai sesi soal jawab, persidangan dijadual diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan pada 9 Oktober lepas.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Oktober sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Oktober.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Disember ini. -BERNAMA