IPOH, 16 Ogos - Ipoh bakal muncul sebagai bandar moden dengan pembangunan Ipoh Sentral, projek berorientasikan transit (TOD) pertama selepas Rancangan Malaysia Ke-13, yang menyatukan pelbagai mod pengangkutan termasuk ETS dan KTM Komuter.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata projek tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Rancangan Induk Pengangkutan Negara. Ia bertujuan mengurangkan kesesakan, memusatkan pembangunan di hab pengangkutan, serta menggalakkan gaya hidup lebih lestari.
Projek atas tanah seluas 66.6 ekar itu dilaksanakan dalam dua fasa, iaitu fasa pertama mengekalkan kawasan hijau serta taman rekreasi awam. Manakala fasa kedua melibatkan pembangunan bercampur meliputi perumahan dan komersial.
“Pembangunan ini akan menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan, F&B, logistik, penyelenggaraan dan PKS. Ia selari dengan usaha kerajaan negeri mencapai status Smart City 2030, khususnya di bawah teras pengangkutan hijau,” katanya.
Menurut beliau, sejak pelanjutan laluan Butterworth ke Ipoh pada 2023, purata penumpang Komuter Utara meningkat 29 peratus daripada 12,668 kepada lebih 16,000 pada 2024.
Kerajaan juga memperoleh 12 set tren elektrik baharu bagi menampung permintaan pengguna.
Ipoh Sentral diyakini akan menjadi simbol transformasi bandar, memacu ekonomi, serta memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui rangkaian pengangkutan moden, selamat, dan mesra pengguna.