fb fb fb fb fb

Insiden helikopter terhempas, enam mangsa berjaya dibawa keluar dari lokasi nahas

BRINCHANG, 26 Oktober- Enam mangsa yang terlibat dalam insiden helikopter terhempas di Hutan Simpan Bukit Kinta, berjaya dibawa keluar malam ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata mangsa terakhir dibawa keluar pada pukul 9.30 malam.

Ke semua mangsa berumur antara 31 hingga 48 tahun.

Mangsa dikenali sebagai Fedzrol Norazam, 43; Munirah Abd Rahman, 53; Zainurol Fazlan Zainudin, 40; Muhamad Azlan Hanifah, 31; Norhasikin Abu Seman, 38, dan Hashilawati Hussin, 43.

"Mangsa menghubungi sendiri ke pusat kawalan atau pun ke rakan mereka di luar sana untuk mendapatkan bantuan, kita pun mendapat maklumat daripada mangsa.

"Alhamdulillah sepanjang SAR ini dijalankan dari tempat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) tadi ke tempat kemalangan atau helikopter terhempas, kita tidak mengalami apa-apa kesukaran.

"Kerana ada hutan-hutan kecil dan kita boleh sampai ke bangkai pesawat yang terhempas dan juga berjumpa, menyelamatkan mangsa dalam keadaan tidak menghadapi apa-apa masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

Ke semua mangsa telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Tanah Rata Cameron Highlands untuk rawatan lanjut.

(Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri)

Sementara itu, Mohd Yusri turut memaklumkan bangkai pesawat akan diuruskan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sepanjang operasi dijalankan, seramai 127 anggota melaksanakan kerja-kerja menyelamat terdiri daripada PDRM, Bomba, VAT 69, Tentera, Pejabat Daerah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam kejadian pada pukul 1.20 petang tadi, pihak polis menerima maklumat daripada Menara Kawalan Trafik Udara (CAAM) Ipoh bahawa terdapat sebuah helikopter telah terhempas di kawasan sempadan negeri Perak-Pahang berhampiran Cameron Highlands.

Mangsa terdiri daripada seorang juruterbang lelaki dan lima pegawai perubatan dari Pasukan Doktor Udara (PDU) Pejabat Kesihatan Daerah Kinta.

Semasa kejadian, pesawat tersebut dalam perjalanan pulang dari Kampung Gawin Gua Musang ke Pangkalan PDU di Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak setelah menjalankan tugas perkhidmatan perubatan masyarakat.

Siasatan akan dijalankan pihak Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Media Baharu