SHANGHAI, 27 Mei- Lapan daripada 16 penumpang rakyat Malaysia penerbangan SQ321 Singapore Airlines (SIA) sudah kembali ke tanah air, setakat hari ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin turut mengesahkan seorang lagi penumpang warga Malaysia yang cedera dalam insiden gelora udara melampau itu telah dibenarkan keluar dari hospital.
Mangsa sedang menunggu proses dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Tujuh lagi rakyat Malaysia, masing-masing dirawat di Hospital Samitivej Srinakarin dan Hospital Samitivej Sukhumvit pula sudah dipindahkan ke wad biasa.
Mereka dilapor berada dalam keadaan stabil.
Manakala seorang lagi rakyat Malaysia yang merupakan kru pesawat akan melakukan penerbangan ke Singapura, hari ini.
"Melalui wakil kita di Bangkok, mereka akan terus memantau, duta kita di sana memang berkerja keras daripada mula hingga ke hari ini untuk melihat secara dekat dan menguruskan bantuan-bantuan yang diperlukan bagi memudahkan kepulangan mereka,"kata Datuk Mohamad.
Katanya, setakat ini Kementerian Luar belum menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana penumpang warga Malaysia yang mungkin mahu memfailkan sebarang tindakan perundangan terhadap SIA.
Penerbangan SQ 321 dari London ke Singapura yang membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal, pada 21 Mei lalu terjejas susulan kes gelora udara hingga meragut satu nyawa.
Susulan itu, pesawat berkenaan telah dilencongkan ke Bangkok.
Sementara itu, Datuk Datuk Mohamad memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang maklum balas mengenai jemaah Malaysia yang diarah meninggalkan Makkah susulan tidak memiliki dokumen lengkap atau visa haji.
Justeru, beliau menasihati semua jemaah dari Malaysia supaya sentiasa mematuhi nasihat perjalanan terutama tarikh penting sepanjang musim haji termasuk peraturan ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.