fb fb fb fb fb

Inisiatif penanaman bawang kini di fasa rintis, pengembangan- MARDI

Foto: FB MARDI

KUANTAN, 13 Mac- Inisiatif penanaman bawang bagi mengurangkan kadar kebergantungan import kini melalui dua fasa iaitu melibatkan fasa rintis dan fasa pengembangan bagi kawasan penanaman sedia ada, sebelum diperluas ke kawasan baharu.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, proses tersebut akan dilaksana secara berperingkat bagi memastikan peningkatan hasil dapat dicapai secara menyeluruh.

Jelasnya, penanaman bawang pada skala lebih besar juga akan diteruskan dengan lebih intensif melibatkan petani di seluruh negara.

“Dan apa yang kita lakukan adalah kita membekalkan benih-benih bawang kepada yang berminat tetapi untuk tahun 2024 tahun 2025 kita buat secara berperingkat-peringkat kerana untuk menghasilkan benih bawang itu kita memerlukan masa tiga bulan baru kita dapat benih bawang yang baru untuk diedarkan kepada petani. Jadi kita akan lakukan secara berfasa untuk kita memperluaskan tanaman bawang di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi temu bual ekslusif di konti Pahangfm di sini, hari ini.

Tambah Dr Mohamad Zabawi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan kawasan hampir 1,500 hektar penanaman bagi membantu pengurangan import bawang menjelang 2030.

Pihaknya turut berkerjasama dengan agensi lain iaitu Jabatan Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi mencapai hasrat berkenaan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI