KUALA LUMPUR, 30 September – Inisiatif Budi MADANI RON95 (BUDI95) kini diperluas kepada semua 16 juta rakyat Malaysia yang layak bermula tengah malam tadi.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata program berkenaan mula dilaksanakan pada 27 September 2025 dengan pemberian harga subsidi RM1.99 seliter kepada 300,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehari selepas itu iaitu pada 28 September, ia diperluas kepada lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
"Setakat jam 7 malam pada 29 September, hampir 912,000 penerima STR serta anggota ATM dan PDRM telah melakukan transaksi Budi95 di seluruh negara dengan jumlah 43.7 juta pembelian melibatkan 21.8 juta liter petrol RON95 di bawah inisiatif ini dan bermula pada tengah malam tadi BUDI95 diperluaskan kepada semua 16 juta rakyat malaysia yang layak," kata beliau menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada Rabu.
Beliau berkata kerajaan turut mengumumkan bahawa pemandu e-hailing bakal menikmati had tambahan dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) kini dalam proses memuktamadkan mekanisme permohonan bersama penyedia perkhidmatan pada minggu ini.
Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan pemberian subsidi kepada pengendali bot di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama kerajaan negeri bagi mengumpul data pemilik bot yang layak.
“Kerajaan MADANI merakamkan penghargaan kepada semua penerima Budi 95 yang telah memanfaatkan inisiatif ini. Setiap liter membawa makna besar kepada rakyat. Kerajaan akan memastikan dasar ini terus dimantapkan demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat,” kata beliau.