
KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Indeks sinaran ultraungu (UV) dijangka berada pada tahap tinggi di kebanyakan kawasan di seluruh negara dalam tempoh seminggu bermula minggu depan berikutan taburan hujan yang rendah serta litupan awan yang kurang.
- Litupan awan rendah membolehkan lebih banyak sinaran UV sampai ke permukaan bumi.
- Bacaan UV tinggi ketika matahari terik; waktu puncak sekitar 10.00 hingga 16.00 di Sabah dan Sarawak, sekitar 11.00 di Semenanjung.
- Gunakan payung, pakaian berlengan panjang, cermin mata hitam dan krim pelindung matahari semasa di luar.
- Laraskan aktiviti luar ke waktu awal pagi atau lewat petang; hadkan tempoh pendedahan terutama kanak-kanak dan pekerja luar.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata keadaan itu susulan Malaysia kini berada dalam fasa aktif Monsun Barat Daya.
“Kita tidak menjangkakan hujan yang banyak di seluruh negara dalam tempoh seminggu akan datang.
“Jadi, dalam keadaan hujan dan awan yang kurang, sinaran UV dijangka mencatat nilai indeks yang tinggi dan sangat ekstrem,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Beliau berkata intensiti sinaran UV turut dipengaruhi keadaan cuaca, dengan litupan awan yang rendah membolehkan lebih banyak sinaran UV sampai ke permukaan bumi.
Katanya, tahap sinaran UV lazimnya meningkat ketika matahari terik dengan tempoh puncak berbeza mengikut lokasi.
“Bacaan UV akan tinggi ketika matahari terik iaitu bermula sekitar pukul 10.00 pagi. Di Sabah dan Sarawak, tempoh matahari terik adalah lebih awal, sekitar pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Manakala di Semenanjung, matahari biasanya mula terik sekitar pukul 11.00 pagi,” katanya.
Dr Hisham menasihatkan orang ramai yang perlu melakukan aktiviti luar dalam tempoh berkenaan supaya mengambil langkah perlindungan yang bersesuaian.
Antara langkah yang disarankan termasuk menggunakan payung, memakai pakaian berlengan panjang, cermin mata hitam dan krim pelindung matahari, selain mengurangkan tempoh berada di bawah sinaran matahari ketika waktu puncak.
Beliau turut mengingatkan golongan yang banyak bekerja di luar termasuk pekerja kontrak dan anggota polis yang mengawal lalu lintas supaya mendapatkan perlindungan sewajarnya ketika menjalankan tugas.
Katanya, ibu bapa juga disaran memastikan aktiviti luar anak-anak disesuaikan dengan keadaan cuaca dan mengelakkan pendedahan terlalu lama kepada cahaya matahari.
Bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti riadah, waktu awal pagi atau lewat petang disarankan sebagai pilihan yang lebih sesuai.