fb fb fb fb fb

ILP Kangar buka peluang lepasan SPM ikuti 5 bidang utama TVET

Bagi kemasukan Julai depan, seramai 160 belia dari seluruh negara ditawarkan mengikuti pengajian di ILP Kangar.

KANGAR, 29 Mei- Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar antara destinasi pilihan belia lepasan SPM bagi mengikuti Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Bagi kemasukan Julai depan, seramai 160 belia dari seluruh negara ditawarkan mengikuti pengajian dalam lima bidang utama iaitu Teknologi Penyelenggaraan Mekanikal, Teknologi Mekatronik, Teknologi Fabrikasi Logam, Teknologi Kimpalan dan Teknologi Pembuatan Pemesinan.
 
Jelas Timbalan Pengarah Latihan ILP Kangar, Rosmiza Majid, kebolehpasaran pekerjaan graduan lepasan ILP Kangar adalah melebihi 95 peratus.

"Kelima-lima bidang ini ada peluang yang berbeza, peluang yang amat luas tetapi untuk setakat ini, bidang mekatronik mendapat permintaan yang tinggi di ILP Kangar ini, yang selalu kita dapat permohonan yang penuh. Namun keempat-empat bidang yang lain juga bagi saya sangat menjanjikan peluang pekerjaan yang luas sebab industri amat berminat keempat-empat bidang ini dan ia mendapat perhatian industri," katanya.
 
Beliau ditemui pada Hari Terbuka ILP Kangar bertujuan memperkenalkan TVET kepada komuniti setempat di sini.

Ujarnya, penyediaan pelbagai kemudahan terkini dilihat mampu melahirkan tenaga mahir berkemahiran tinggi dan inisiatif kerjasama dengan pihak industri diteruskan bagi memastikan ILP Kangar dapat merancang serta melatih pelajar dengan ilmu dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri

Ketika ini, seramai 450 pelajar sedang mengikuti pengajian di ILP Kangar.

ZEHRA BINTI ZAMBRI