fb fb fb fb fb

ICT Zone buat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Syarikat penyelesaian pembiayaan teknologi, ICT Zone Asia Bhd (ICT Zone) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 3 Jun- Syarikat penyelesaian pembiayaan teknologi, ICT Zone Asia Bhd (ICT Zone) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia, dengan prestasi mendatar berikutan pelabur berurus niaga dengan sentimen secara berhati-hati.

Saham syarikat itu dibuka pada harga 20 sen sesaham, tidak berubah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan sebanyak 2.12 juta saham diniagakan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tommy Lim Kok Kwang berkata, sebanyak RM21 juta atau kira-kira 80 peratus dana diraih daripada IPO akan diperuntukkan untuk mengembangkan segmen pembiayaan teknologinya.

"Peningkatan permintaan terhadap penyelesaian pembiayaan teknologi, terutamanya dengan peranti teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) bakal dilengkapi kecerdasan buatan (AI).

"...digabungkan dengan perubahan pemerolehan ICT sektor awam daripada perbelanjaan modal kepada model langganan perbelanjaan mengurus, mewujudkan peluang pertumbuhan luar biasa kepada perniagaan kami," menurut kenyataan itu.

Beliau turut optimis sasaran nilai perolehan kontrak sebanyak RM500 juta dapat dicapai dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pada 26 Mei lalu, saham CT Zone telah terlebih langgan sebanyak 1.89 kali semasa IPO dan berjaya mengumpul RM26.6 juta.

Jelas beliau, syarikat itu telah memasuki pasaran perkhidmatan awan sejak tiga tahun lepas, termasuk dengan mengambil alih 58 peratus kepentingan dalam syarikat Cloudify.Asia.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada rancangan syarikat untuk meluaskan penawaran penyelesaian pembiayaan teknologi melalui pelbagai bidang perniagaan lain.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI