PUTATAN, 19 November - Seorang wanita maut manakala anaknya cedera parah selepas dirempuh kereta api ketika sedang melintas di Landasan Kereta Api, berhadapan Kg Petagas, Putatan tengah hari tadi.
Anak-beranak itu dirempuh kereta api dari Putatan ke Kota Kinabalu dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
Pusat gerakan operasi bomba berkata, mangsa, Lena Gabin berusia 41 tahun yang diseret sejauh 20 meter disahkan maut di tempat kejadian.
"Manakala anaknya berusia 11 tahun dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan putus kaki.
Katanya, seramai tujuh anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lima kilometer dari BBP Putatan.
Pasukan bomba melakukan pembersihan di lokasi kejadian sebelum menamatkan operasi pada 2.47 petang tadi.