fb fb fb fb fb

HIV: Kes baharu menurun, tapi jangkitan dalam kalangan belia lelaki membimbangkan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Kes jangkitan HIV baharu di Malaysia mencatatkan penurunan ketara apabila 3,185 kes dilaporkan pada tahun 2024, berbanding 6,978 kes pada tahun sebelumnya.

Kadar notifikasi turut menyusut kepada 9.4 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata penurunan itu hasil pelbagai strategi yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mengekang penularan HIV, termasuk meningkatkan akses kepada rawatan Antiretroviral (ARV) bagi Orang Yang Hidup Dengan HIV (ODHA) dan menyediakan rawatan pencegahan HIV kepada pasangan ODHA.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kebimbangan mengenai peningkatan kes dalam kalangan belia lelaki berusia 20 hingga 39 tahun, yang menyumbang 75% daripada keseluruhan kes. Lebih membimbangkan, 90% daripada kes HIV baharu melibatkan golongan lelaki.

"Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes ini adalah hubungan homoseksual, selain penggunaan aplikasi media sosial yang menawarkan perkhidmatan mencari pasangan sejenis," katanya ketika menjawab soalan Senator Dr. Lingeshwaran di Dewan Negara, hari ini.

Mengikut statistik KKM, negeri yang mencatat kes baharu tertinggi adalah; Selangor – 34.1%, Kuala Lumpur & Putrajaya – 11.4% dan Sabah – 10.8%.

Selain itu, kadar jangkitan tertinggi dalam kalangan kumpulan etnik dicatatkan oleh Bumiputera Sabah (14.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk), diikuti Bumiputera Sarawak (14.0 kes) dan India (12.1 kes).

Dalam usaha menangani isu tersebut, Lukanisman berkata KKM telah menjalinkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, susulan data yang menunjukkan kadar jangkitan aktif dalam kalangan pelajar.

Selain itu, pencegahan menggunakan Pre-Exposure Prophylaxis (PrEP), ubat yang boleh menghalang jangkitan HIV melalui hubungan seksual dengan keberkesanan sehingga 99.9% turut diperluaskan.

"Namun, penggunaan PrEP masih menerima tentangan daripada beberapa pihak, walaupun secara teknikalnya ia adalah antara solusi terbaik untuk mengawal penularan HIV," katanya.

KKM komited untuk terus memperkasakan program kesedaran, rawatan, dan pencegahan bagi memastikan jangkitan HIV di Malaysia dapat dikawal dengan lebih berkesan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE