
- Wahdatul fikr, wahdatul qulub dan wahdatul amal sebagai asas penyatuan untuk membina kemajuan kampung.
- Raikan perbezaan tetapi amalkan tasawuf, akhlak dan adab dalam menangani perselisihan tanpa asabiyah yang memecahbelahkan.
- Hargai asal usul serta warisan keturunan sambil memenuhi tanggungjawab sebagai rakyat yang menghormati demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
- Sejarah pembukaan oleh komuniti Banjar dan Jawa membuktikan kepelbagaian budaya menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan.
KUALA LANGAT, 6 Jun – Generasi ketiga dan keempat Kampung Jenjarom perlu terus memupuk perpaduan, kesepakatan dan semangat kebersamaan bagi memastikan kampung itu terus maju dan menjadi kebanggaan pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, walaupun penduduk mempunyai pandangan dan latar belakang yang berbeza, penyatuan fikiran, hati dan tindakan perlu menjadi asas pembangunan kampung tersebut bagi 100 tahun akan datang.
“Generasi ketiga atau keempat mesti ada wadah yang sama, wahdatul fikr (penyatuan pemikiran), wahdatul qulub (penyatuan hati nurani) dan wahdatul amal (penyatuan tindakan) agar Kampung Jenjarom ini 50 atau 100 tahun akan datang menjadi satu kawasan yang maju yang mana penduduknya makin ramai.
“Perbezaan pendapat ini kita boleh raikan, tetapi harus ada tasawuf, akhlak dan adab dalam menangani perbezaan atau adabul ikhtilaf dan yang penting ialah nilai-nilai tradisi itu dipertahankan asalkan tidak ada asabiyah yang menyebabkan kita akan terpisah disebabkan oleh perbezaan pegangan atau warna kulit atau lain-lain fahaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival 100 Tahun Kampung Jenjarom di Sekolah Kebangsaan Jenjarom di sini, hari ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penduduk perlu menghargai asal usul dan warisan keturunan masing-masing sambil melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
Jelasnya, sejarah pembukaan Kampung Jenjarom oleh komuniti Banjar dan Jawa membuktikan bahawa kepelbagaian budaya mampu menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan masyarakat
Kemajuan kampung itu adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan generasi terdahulu yang membangunkan kawasan tersebut sejak 100 tahun lalu.