
PUTRAJAYA, 6 Jun – Karnival Lindung Kerjaya MyFutureJobs bersempena sambutan Hari TVET Negara 2026 anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menghimpunkan 28 majikan yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, termasuk sesi temu duga secara terus kepada pengunjung.
- Pusat Eksplorasi Kerjaya MYFutureJobs (MYCEC) sebagai platform interaktif menilai personaliti untuk meneroka peluang kerjaya.
- Menyediakan semakan resume, sesi perkongsian industri dan maklumat terkini berkaitan kebolehpasaran kerja kepada pencari kerja.
- Pendekatan ini membantu pencari kerja aktif, pelajar TVET dan ibu bapa merancang laluan pendidikan serta mengenal pasti kecenderungan kerjaya.
Program itu turut menerima sambutan menggalakkan menerusi pengenalan konsep Pusat Eksplorasi Kerjaya MYFutureJobs (MYCEC) yang berfungsi sebagai platform interaktif untuk pencari kerja meneroka peluang kerjaya berdasarkan penilaian personaliti.
Melalui konsep tersebut, pencari kerja bukan sahaja boleh menghadiri sesi temu duga secara terus bersama majikan, malah turut berpeluang mendapatkan semakan resume, mengikuti sesi perkongsian industri serta memperoleh maklumat terkini berkaitan kebolehpasaran kerja.
Pegawai PERKESO, Farid Rizal berkata, pendekatan MYCEC memberi ruang kepada pencari kerja aktif serta pelajar TVET yang bakal menamatkan pengajian untuk mengenal pasti kecenderungan kerjaya masing-masing.
“Konsep ini menghimpunkan pencari kerja yang boleh menghadiri temu duga secara terus bersama majikan, di samping memberi ruang kepada pelajar TVET meneroka peluang kerjaya serta mengenal pasti kecenderungan mereka dalam pasaran pekerjaan.
“Pengunjung juga boleh mendapatkan semakan resume secara terus daripada majikan serta mengikuti sesi perkongsian bersama pemain industri,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata pendekatan interaktif itu menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada sambutan menggalakkan terhadap reruai MyFutureJobs sepanjang karnival berlangsung.
Sementara itu, pengunjung menyifatkan program berkenaan bukan sahaja membantu pencari kerja, malah turut memberi manfaat kepada ibu bapa dalam merancang laluan pendidikan anak-anak.
Seorang pengunjung, Zailiza Mohd Razali berkata beliau hadir bagi mendapatkan maklumat peluang kerjaya serta laluan pendidikan untuk anaknya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.
“Pada asalnya, saya datang ke sini untuk mencari peluang kerjaya, di samping mendapatkan maklumat mengenai laluan pendidikan yang sesuai untuk anak saya.
“Anak saya akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini, jadi saya ingin melihat pilihan kerjaya dan peluang anak saya melanjutkan pengajian selepas tamat persekolahan,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Shah Balkesh Mohd Supar pula berkata pendedahan oleh majikan dan agensi terlibat membantu beliau memahami dengan lebih jelas peluang kerjaya yang ditawarkan.