
TUMPAT, 6 Jun – Polis berjaya membongkar aktiviti penyeludupan selepas menemukan 1.3 tan beras Siam dalam sebuah van yang ditinggalkan di Pangkalan Haram Simpangan di Pengkalan Kubor, di sini pagi tadi.
- Van ditemui hasil rondaan jam 7 pagi di pangkalan haram; kenderaan tidak berkunci dan tiada sesiapa di dalamnya.
- Pemeriksaan menemui beras Siam dan beras pulut bernilai RM5,350, dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran sekitar Kota Bharu.
- Rampasan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara untuk siasatan mengikut Seksyen 20 Akta 1994.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, van berkenaan ditemui hasil rondaan jam 7 pagi di kawasan pangkalan haram terbabit.
Katanya, pihak berkuasa kemudiannya menghampiri van terbabit namun tidak ada sesiapa di dalam kenderaan yang tidak berkunci itu.
“Pemeriksaan lanjut menemukan 1,300 kilogram (kg) beras Siam dan beras pulut dianggarkan bernilai RM5,350 dan ia dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran sekitar Kota Bharu.
“Barangan tersebut dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut,” katanya melalui kenyataan.
Beliau menjelaskan, rondaan dan pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti pembolosan dan penyeludupan.
Semua rampasan akan diserahkan kepada Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara untuk siasatan mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.