
TELUK INTAN, 6 Jun – Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat sindiket penyelewengan minyak diesel sebanyak 21,840 liter di Hutan Melintang, awal pagi semalam.
- Serbuan KPDN Perak di jeti perikanan hasil risikan seminggu terhadap pergerakan lori tangki pada waktu malam dan awal pagi.
- Sebuah lori tangki 27 tan dan beberapa dokumen disita, nilai rampasan dianggarkan melebihi RM202,000.
- Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974; siasatan lanjut ke atas pembekal.
Penahanan dilakukan hasil serbuan ke atas sebuah jeti perikanan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak kira-kira pukul 3.00 pagi.
KPDN turut menyita sebuah lori tangki berkapasiti 27 tan serta beberapa dokumen berkaitan, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM202,000.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dijalankan hasil risikan selama seminggu berhubung aktiviti keluar masuk sebuah lori tangki pada waktu malam dan awal pagi.
“Ketika serbuan, sebuah lori tangki dikenalpasti membawa bekalan minyak diesel sebanyak 21,840 liter dari Lembah Klang.
“Dua individu berusia 60 dan 30 tahun yang merupakan pemilik premis dan pemandu lori telah ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah”, katanya dalam kenyataan.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Siasatan lanjut juga akan dijalankan ke atas pembekal bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.