PGA temui 11 kg ganja bernilai RM33,000 dalam semak

Penemuan 13 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja di kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit di Kampung Baru, Lubok Stol, Pasir Mas

KOTA BHARU, 6 Jun – Pemerhatian selama hampir 10 jam di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Baru, Lubok Stol, Pasir Mas membawa kepada penemuan 13 ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan PGA menemui 11 kilogram ganja bernilai RM33,000 ditinggalkan dalam bungkusan plastik di kawasan semak berhampiran ladang sawit.
  • Pemerhatian hampir 10 jam sejak pukul 7.00 pagi tidak menemui suspek, barang dipercayai ditinggalkan secara tergesa-gesa untuk diambil pihak lain.
  • Semua barang kes diserahkan kepada BSJND IPD Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dadah seberat 11 kilogram (kg) bernilai RM33,000, itu ditinggalkan dalam bungkusan plastik hitam di kawasan semak berhampiran ladang sawit berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, pasukan menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan sejak pukul 7.00 pagi.

“Hasil pemerhatian mendapati tiada sebarang pergerakan mencurigakan sebelum pasukan membuat pemeriksaan. Barang kes dipercayai ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa dan dipercayai diletakkan di lokasi berkenaan untuk diambil pihak lain.

“Keberadaan pasukan yang terlalu lama di kawasan itu juga berkemungkinan telah dihidu oleh sindiket penyeludupan menyebabkan tiada individu tampil mengambil bungkusan terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, katanya tiada tangkapan dibuat.

Ahmad Radzi berkata, kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai laluan utama orang awam dan agensi penguat kuasa sempadan.

Beliau berkata, semua barang kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.