
KANGAR, 6 Jun – Mahkamah Sesyen Kangar menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) terhadap tiga individu yang didapati bersalah kerana melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.
- Kegagalan menjelaskan denda boleh menyebabkan hukuman penjara sehingga 30 hari.
- Dua OKS diperintahkan menjalani PKM lapan jam; seorang lagi PKM tiga jam dalam tempoh enam bulan.
- Kesalahan tidak dipandang ringan; semua OKS telah bayar denda dan PKM dilaksanakan di lokasi ditetapkan SWCorp.
Menurut Pengarah SWCorp Perlis, Fadil Idris dalam kenyataannya, mereka bakal berdepan hukuman penjara selama 30 hari sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Selain itu, dua OKS perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama lapan jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.
Manakala, seorang lagi OKS diperintahkan menjalani PKM selama tiga jam dalam tempoh enam bulan dari tarikh sabitan.
Kesemua OKS yang hadir telah menjelaskan bayaran denda yang dikenakan oleh mahkamah dan pelaksanaan PKM pula akan dibuat di lokasi yang ditetapkan oleh SWCorp.
Hukuman berkenaan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Tindakan ini membuktikan bahawa kesalahan membuang sampah kecil bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang ringan.
SWCorp akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan secara berterusan bagi memastikan tahap kebersihan awam sentiasa
terpelihara.