
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Polis sedang mengesan seorang suspek dipercayai terlibat mencuri pakaian jemuran di sebuah rumah teres di Taman Cheras Indah di sini, semalam.
- Video tular kira-kira 5 petang menunjukkan seorang individu memanjat pagar dan memasuki halaman rumah.
- Seorang wanita membuat laporan kehilangan pakaian dijemur, disedari kira-kira 10 pagi pada hari sama.
- CCTV menunjukkan individu berpakaian jubah gelap memasuki halaman sebelum mengambil pakaian tersebut.
- Hanya pakaian jemuran hilang dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 serta Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan satu video tular pada kira-kira 5 petang, memaparkan seorang individu memanjat pagar sebelum memasuki halaman rumah tersebut.
Beliau berkata polis turut menerima laporan daripada seorang wanita tempatan pada hari sama berhubung kehilangan pakaian dijemur di luar rumah yang disedarinya pada kira-kira 10 pagi.
“Pengadu telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang individu berpakaian jubah gelap memanjat pagar dan memasuki halaman rumah sebelum mengambil pakaian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata pemeriksaan mendapati hanya pakaian jemuran hilang dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 serta Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu kerana mencuri dan pencerobohan jenayah. – BERNAMA