Shereen raih emas, Umar perbaharui rekod kebangsaan 400M

Foto FB Olahraga Malaysia / Malaysia Athletics

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Pelari wanita negara, Shereen Samson Vallabouy, meneruskan prestasi cemerlang apabila meraih pingat emas acara 400 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka New Taipei City 2026 di Taiwan, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Shereen menjuarai 400m akhir dengan catatan 52.73s, mengatasi Jithma Wijhetunga (perak) dan Sophia Gregorevic (gangsa).
  • Terdahulu dia memperbaharui catatan terbaik musim dengan 53.85s pada separuh akhir.
  • Umar Osman meraih perak acara 400m lelaki dengan 46.42s, tewas 0.20s kepada juara Brenton Kerr.
  • Umar turut memperbaharui rekod kebangsaan kepada 45.73s di pusingan saringan, memecah rekod 46.09s (Chengdu 2023).

Pada aksi akhir, Shereen mencatat masa 52.73 saat (s) untuk muncul juara, mengatasi Jithma Wijhetunga dari Sri Lanka yang meraih perak menerusi catatan 53.16s, manakala gangsa menjadi milik wakil Australia, Sophia Gregorevic (53.86s).

Terdahulu, atlet berusia 26 tahun itu memperbaharui catatan terbaik musim (SB) miliknya apabila merekodkan masa 53.85s pada saingan separuh akhir.

Sementara itu, dalam acara 400m lelaki, hasrat Umar Osman untuk menambah koleksi pingat emas negara tidak kesampaian apabila sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Pada perlumbaan akhir, Umar mencatat masa 46.42s untuk menamatkan saingan di tempat kedua, hanya 0.20s di belakang juara dari Australia, Brenton Kerr.

Pingat gangsa pula dimenangi Methawi Kanhaaudom dari Thailand yang merekodkan masa 46.43s.

Bagaimanapun, Umar tetap mencuri tumpuan apabila berjaya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada peringkat saringan dengan catatan 45.73s, sekali gus memperbaharui rekod terdahulu 46.09s yang dilakukan pada Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China, pada 2023.

“Rekod kebangsaan 45.73s ini saya tunggu selama tiga tahun. Segala jatuh bangun, penat lelah ketika latihan dan semangat untuk terus bangkit akhirnya membuahkan hasil,” katanya menerusi video yang dikongsikan Olahraga Malaysia di Facebook, hari ini.

Kontinjen negara turut menambah koleksi pingat menerusi Armin Zahryl yang meraih gangsa dalam acara 110m lari berpagar lelaki selepas mencatat masa 13.87s.- BERNAMA

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.