Hina al-Quran: Tindakan tegas diambil ikut peraturan universiti

Foto RTM

BACHOK, 2 Mac – Pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina al-Quran akan diambil tindakan tegas mengikut peraturan universiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan tegas akan dilaksanakan mengikut peraturan universiti berdasarkan hasil siasatan dan kerangka perundangan sedia ada.
  • Pentadbiran universiti membuat laporan polis dan kes kini sedang disiasat sebelum keputusan lanjut dibuat.
  • Pendakwaan dijangka dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan atas dakwaan mencemarkan kitab suci.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pihaknya sudah mengarahkan supaya tindakan sewajarnya dilaksana berdasarkan hasil siasatan dan kerangka perundangan sedia ada sambil menegaskan kementerian tidak berkompromi terhadap tindakan pelajar terbabit.

“Warga institusi pengajian tinggi diingatkan supaya sentiasa menyuburkan semangat saling menghormati bagi mengekalkan keharmonian.

“Apabila berlaku tindakan sebegini (menghina agama) dilakukan ia sudah tentu akan menimbulkan kemarahan kerana al-Quran merupakan kitab suci bagi orang Islam,” katanya ketika
ditemui pemberita pada Majlis Iftar Mahabbah IPTA Kelantan@UMK 2026 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, hari ini.

Jelas Datuk Seri Dr Zambry, pihak pentadbiran universiti juga telah bertindak pantas dengan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Tambahnya, kes tersebut kini dalam siasatan polis dan sebarang keputusan lanjut perlu dilakukan selepas proses siasatan selesai.

Pada 25 Februari lepas, seorang pelajar UMPSA ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.

Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelajar terbabit akan didakwa di mahkamah di Kuantan, esok.

Kenyataan tersebut menyatakan pendakwaan akan dilakukan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek yang dianggap suci, iaitu al-Quran, dengan memijaknya, yang mana perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan suatu penghinaan terhadap agama Islam.