
GUA MUSANG, 20 Jun – Durian Musang King yang sebelum ini dianggap ‘buah kayangan’ kini mengalami penurunan harga ketara apabila gred premium dijual pada harga lebih rendah di bawah RM20 sekilogram.
- Lambakan durian musim puncak peniaga turunkan harga untuk elak kerugian, menyebabkan Musang King jatuh teruk.
- Harga gred tinggi kini mampu milik; peniaga nyatakan Gred A RM19, Gred B RM16 dan Baby Musang RM8.
- Durian kampung merudum sekitar RM3.50, sesetengah buah hanya sesuai dimakan separuh atau dijadikan tempoyak.
Tinjauan di sini mendapati durian gred A yang sebelum ini mencecah harga hampir RM50 sekilogram kini dijual pada kadar harga menyamai gred C.
Menurut peniaga, lambakan buah berlaku susulan musim durian yang sedang memuncak menyebabkan harga terpaksa diturunkan bagi mengelakkan kerugian.
Selain itu, durian kampung turut mengalami penurunan harga mendadak apabila menghampiri paras harga RM3 sekilogram.

Peniaga durian, Mohd. Zuhairi Hashim berkata tahun ini orang ramai boleh merasa pelbagai jenis durian termasuk yang berkualiti tinggi yang sebelum ini harganya agak mahal.
“Stok durian tahun ini orang boleh merasa semua durian termasuk Musang King, Duri Hitam dan IOI. Memang mampu miliklah. Bawah harga RM20 belaka. Kalau gred A dengan harga RM19 sekilogram, Gred B dengan harga RM16 sekilogram serta Baby Musang King dengan harga RM8 sekilogram. Tahun ini memang harga sangat rendah,” katanya.

Seorang lagi peniaga durian, Ahmad Aiman Hashim pula berkata, tahun ini kebanyakan pelanggan beliau merupakan mereka yang pertama kali berpeluang untuk membeli durian jenis berkualiti tinggi.
“Kebanyakannya saya perasan pelanggan tahun ini pertama kali ingin merasa Duri Hitam atau Musang King. Kalau ikutkan minggi ini sahaja harga durian semakin murah. Dari awal kita jual RM4.50 sekilogram untuk durian kampung namun sekarang harga turun kepada RM3.50 sekilogram,” katanya.
Bagi Kweh Tieok Eng, tahun ini harga Musang King jatuh teruk dan berkemungkinan ia berpunca daripada terlalu ramai pengusaha kebun durian sehingga berlakunya lambakan buah di pasaran.
“Memang sedihlah sebab harga jatuh teruk sehingga RM5 sekilogram bagi buah yang kurang elok. Separuh boleh dimakan dan separuh lagi boleh dibuat tempoyak,” katanya.