
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Malaysia dan China terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi pendekatan diplomasi warisan seni.
- Warisan tekstil China dan batik Malaysia menjadi asas pertukaran budaya, pembelajaran bersama serta kolaborasi seni yang melangkaui sempadan.
- Program Pertukaran Warisan Budaya Tidak Ketara Malaysia-China dilancarkan, dianjurkan bersama Pusat Kebudayaan China dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
- Pameran dan demonstrasi menonjolkan batik Guizhou berindigo serta batik Malaysia berwarna terang, bermotif flora dan aplikasi kontemporari dalam fesyen.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, keunikan seni tekstil China dan batik Malaysia menjadi asas kepada perkongsian silang budaya serta kerjasama berkaitan.
“Warisan tekstil China dan batik Malaysia menawarkan landskap yang amat bermakna bagi pertukaran budaya, pembelajaran bersama serta kolaborasi seni yang tiada batas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Pertukaran Warisan Budaya Tidak Ketara Malaysia-China, di sini.
Program berkenaan merupakan anjuran bersama Pusat Kebudayaan China dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia yang merangkumi pengisian forum dan dialog, demonstrasi seni batik serta pameran khas.
Antara warisan seni yang diketengahkan pada pameran khas itu adalah keunikan batik Guizhou China yang terkenal dengan corak indigo dan motif etnik tradisional.
Manakala batik Malaysia memaparkan penggunaan warna terang, inspirasi flora serta aplikasi kontemporari dalam fesyen dan reka bentuk.