fb fb fb fb fb

Hampir 17,000 remaja hamil luar nikah sepanjang 2020-2024

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri/Foto JaPEN

KUALA LUMPUR, 20 November - Seramai 16,951 remaja perempuan berusia 19 tahun dan ke bawah yang tidak berkahwin direkodkan hamil bagi tempoh 2020 hingga 2024, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

KPWKM mendedahkan angka itu berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang direkodkan di fasiliti kerajaan, susulan pertanyaan Ahli Parlimen Mohd Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar) mengenai jumlah remaja hamil tanpa nikah dan langkah pencegahan isu tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata usaha membendung kehamilan remaja luar nikah dilaksanakan secara menyeluruh melalui pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling dan sokongan komuniti.

“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif serta melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan berdaya tahan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pelan tindakan itu menekankan pembangunan kemahiran reproduktif yang positif melalui pendidikan formal di sekolah dan pendidikan tidak formal di peringkat komuniti.

Tambah beliau tindakan bersepadu digerakkan menerusi platform Majlis Sosial Negara.

"Antara tindakan bersepadu tersebut termasuk memasukkan program PEKERTI di peringkat institusi pengajian tinggi, memperluaskan pelaksanaan di peringkat komuniti serta meningkatkan promosi dan advokasi pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial," katanya.

Nancy berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menyediakan khidmat sokongan kepada remaja menerusi Pusat Remaja KafeTEEN dan Program Sahabat KafeTEEN di sekolah yang menyediakan ruang bimbingan, klinik kesihatan reproduktif dan kaunseling psikososial.

"Sebanyak 18 Pusat Remaja KafeTEEN, sebuah trak KafeTEEN dan 143 Kelab KafeTEEN di sekolah menengah diwujudkan bagi meluaskan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif melalui peer educators terlatih," tambahnya.

Beliau berkata kerajaan juga akan melancarkan Dasar Keluarga Negara dan Pelan Tindakan Keluarga Negara yang baharu sebagai usaha memperkasakan institusi keluarga.

Langkah itu termasuk memperkukuh peranan ibu bapa dan remaja dalam perancangan keluarga.

“Usaha membendung isu kehamilan remaja luar nikah ini wajar digembleng bersama oleh semua pihak demi masa depan generasi muda kita yang lebih sejahtera,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN