fb fb fb fb fb

Hak Sabah akan dipertahan, dilindungi sepenuhnya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 3 Ogos - Kerajaan MADANI komited untuk mempertahankan kedaulatan negara, termasuk menyelesaikan isu melibatkan sempadan antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, Kerajaan Persekutuan akan terus melindungi sepenuhnya hak Sabah kerana negeri ini adalah sebahagian daripada Malaysia.

"Untuk memutuskan perkara mengenai sempadan, mesti melibatkan kerajaan-kerajaan negeri, termasuk Kerajaan Negeri Sabah. Sebab itu, saya fikir lebih baik Ketua Menteri dengar sendiri, kemukakan pandangan mengenai apa yang dibicarakan berhubung isu Laut Sulawesi.

"Ada yang membuat tohmahan di Parlimen dengan mengatakan isu tersebut sudah selesai. Ini soal hubungan dua negara. Indonesia itu negara sahabat. Presiden Prabowo itu sahabat peribadi saya, sahabat keluarga saya. Saya mahu hubungan itu baik.

"Isu tersebut perlu dibincangkan mengikut undang-undang, mengikut UNCLOS (Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu), mengikut sejarah dan mesti dipersetujui oleh Kerajaan Negeri Sabah dan akhirnya Dewan Undangan Negeri," katanya.

Perdana Menteri berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini.

HPPNK yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu menyasarkan kehadiran 500 ribu pengunjung.

MASNIZA AWANG KECHIK