
KUALA LUMPUR, 9 Julai – Keputusan kerajaan mengekalkan had umur persaraan wajib penjawat awam pada usia 60 tahun dilihat wajar, namun pelanjutan tempoh perkhidmatan bagi jawatan kritikal boleh dipertimbangkan berdasarkan keperluan semasa.
- Pertimbangkan pelanjutan tempoh perkhidmatan secara berperingkat untuk jawatan kritikal yang memerlukan kepakaran dan pengalaman.
- Cadangan awal: menaikkan had umur persaraan kumpulan tertentu kepada 62 tahun sebelum pertimbangan lanjutan.
- Keputusan pelanjutan perlu berdasarkan kajian menyeluruh, merit, tahap kesihatan dan kebolehan individu serta pandangan pelbagai pihak.
Profesor Pengurusan Sumber Manusia dan Perhubungan Industri, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Balakrishnan Parasuraman berkata, sebarang perubahan terhadap had umur persaraan tidak perlu dilaksanakan secara menyeluruh atau sekali gus.
Sebaliknya, kerajaan boleh mempertimbangkan pendekatan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada jawatan tertentu yang memerlukan kepakaran dan pengalaman.
Beliau mencadangkan had umur persaraan bagi kumpulan berkenaan dinaikkan kepada 62 tahun terlebih dahulu sebelum sebarang pelanjutan seterusnya dipertimbangkan berdasarkan hasil kajian dan keperluan negara.

“Saya mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelanjutan umur persaraan bagi penjawat awam dalam jawatan kritikal. Sebagai contoh, profesor yang memiliki kepakaran dan pengalaman masih boleh terus menyumbang selepas usia 60 tahun.
“Jika melihat negara lain seperti Indonesia, profesor boleh berkhidmat sehingga usia 70 tahun, manakala Singapura dan banyak negara maju turut memberi perhatian kepada pelanjutan tempoh perkhidmatan bagi jawatan kritikal,” katanya kepada RTM.
Menurutnya, pelanjutan tempoh perkhidmatan juga boleh membantu memastikan kepakaran sedia ada terus dimanfaatkan, khususnya dalam bidang penyelidikan, penyeliaan pelajar doktor falsafah (PhD) dan pembangunan kepakaran negara.
Pada masa sama, faktor merit, tahap kesihatan serta kemampuan individu untuk terus menjalankan tugas perlu diambil kira sebelum sebarang pelanjutan tempoh perkhidmatan dipertimbangkan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan kajian menyeluruh dan pengumpulan pandangan pelbagai pihak boleh dilaksanakan bagi menilai keperluan pelanjutan umur persaraan untuk jawatan tertentu pada masa hadapan.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan had umur persaraan wajib penjawat awam pada usia 60 tahun.
Keputusan itu diumumkan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa.